Menghayati Erti Kemerdekaan

Kita sebenarnya berada dalam bulan kemerdekaan negara kita . Walaupun kurang meriah kerana sambutan hari raya namun kita tidak boleh melupakannya. Bagi generasi muda yang tidak pernah mengalami suasana darurat dan peperangan, mungkin kemerdekaan ini kurang mendapat tempat dihati mereka. Sebagai rakyat Malaysia, sebenarnya kita ini beruntung. Setelah mengecapi kemerdekaan, negara kita terus membangun ke arah sebuah negara maju.

Ketika dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Negara kita telah mengalami tiga peringkat perjuangan. Perjuangan pertama dalam bentuk militan atau gerila. Kemudiaannya, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan peringkat yang seterusnya oleh bijak pandai melalui penulisan mereka. Ketiga-tiga golongan ini berjuang berasingan sehinggalah cadangan mengadakan kongres Melayu pertama  pada 1-4 Mac 1946. Kongres ini telah menyatukan ketiga-tiga golongan ini agar perjuangan mereka lebih tersusun dan teratur. UMNO juga ditubuhkan semasa persidangan tersebut yang memantapkan lagi perjuangan ke arah kemerdekaan.

Sekiranya kita menyingkap kembali penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union, kita boleh lihat bertapa utuhnya perpaduan bangsa Melayu ketika itu. Gagalnya Malayan Union kerana bersatunya hati-hati orang Melayu ketika itu.

Namun, kalau kita imbas apa yang terjadi kepada negara kita pada masa ini, seolah-olah tiada lagi makna dan erti kemerdekaan dalam diri rakyat dan masyarakat. Orang-orang Melayu tidak lagi bersatu padu. Rakyat Malaysia tidak lagi bersatu padu seperti mana semasa menuntut kemerdekaan negara yang mana tiga kaum utama boleh bersatu.

Dalam proses kita menjadi sebuah negara maju, banyak peristiwa yang dahagakan perpaduan rakyatnya. Namun, apa yang dapat kita lihat ialah perpecahan,perbalahan dan sehinggakan membawa kepada pembunuhan. Hari ini, saban hari kita boleh dengar berita mengenai kes tembak. Demonstrasi jalanan  yang tidak membawa manfaat menjadi makanan kita. Hanya pada suatu ketika hati-hati ini bersatu dek kerana Lahad Datu diserang oleh pengganas.

Namun, begitu kita kembali berpecah kerana fahaman politik. Isu agama pula dipermainkan. Agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia ini dihina. Seolah-olah sengaja ditimbulkan kerana hasrat dihati tidak tercapai.

Adakah semua ini mencerminkan kita sebagai rakyat di sebuah negara yang merdeka? Apakah erti kemerdekaan buat kita semua? Adakah kita betul-betul sudah merdeka? Adakah kita hanya merdeka pada fizikal sahaja sebaliknya minda kita masih dijajah? Adakah kita mahu negara ini terjadi seperti Palestin, Mesir dan negara Islam yang lain yang dihujani oleh peluru dan bom tatkala kita berseronok dihujani bunga api dan mercun?

Tidak dilupakan pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi membangunkan negara ini. Peluang demi peluang dihidangkan kepada rakyatnya untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing. Semua ini tidak dapat kita kecapi sekirannya kita masih belum merdeka. Jadilah bangsa yang bersyukur dan hargailah apa yang kita ada sebelum kita kehilangan segala-galanya.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama