Doa selepas solat amatlah dituntut di dalam Islam. Doa adalah senjata orang mukmin dan menjadi sumber kekuatan dalam menjalani kehidupan seharian. Amalan wirid dan doa adalah dua gabungan yang cukup baik.
Sudah tentu jika berdoa dan meminta kita berharap agar apa yang dipinta ditunaikan oleh Allah. Maka, salah satu kaedah untuk meningkatkan kebarangkalian untuk doa kita ditunaikan adalah dengan memuji-muji Allah terlebih dahulu.
Analoginya mudah, sekiranya anda ingin meminta sesuatu daripada orang kaya, kaedah manakah yang lebih senang untuk dapat:
Situasi pertama: Terus meminta kepada orang tersebut tanda memujinya.
Situasi kedua: Sebelum meminta, anda memuji akan kelebihannya, kekayaannya dan kemurahannya. Kalau dalam bahasa mudahnya ialah “bodek”.
Sudah tentu kebarangkalian untuk dapat apa yang dipinta adalah pada situasi kedua.
Begitu juga keadaan kita sebagai hamba dengan Allah s.w.t. Sebelum berdoa dan meminta, berzikirlah seketika dengan memuji keesaan, kekuasaan, kemurahan dan segala sifat terpuji Allah s.w.t.
Malahan, kita turut disuruh berdoa seperti mana dalam firman Allah Ta’ala dalam surah Ghaafir (al-Mu’min) ayat 60 yang membawa maksud:
Dan Tuhan kamu berfirman:”Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”
Surah Ghaafir ayat 60.
Demikianlah jaminan Allah terhadap doa-doa dan permintaan kita. Sama ada tertunai di dunia atau disimpan untuk akhirat kelak, itu adalah hak Allah s.w.t. Ini berdasarkan sebuah hadith yang membicarakan hal ini:
Daripada Abi Said al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” – Hadis Riwayat Muslim (rujukan).
Selepas setiap solat, sebelum berdoa kita juga disarankan agar berzikir sebentar sebelum berdoa. Antara amalan zikir yang boleh dijadikan wirid adalah seperti berikut:
Wirid Ringkas Selepas Solat Fardhu
1. Bacaan Istighfar sebanyak 3 kali
ِأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لآ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْه
Maksudnya:
“Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus dan aku bertaubat kepada-Nya.”
2. Kemudian dibaca bacaan berikut sebanyak 1 kali.
Maksudnya:
“Ya Allah, Engkaulah sumber keselamatan, dari Engkaulah datangnya keselamatan, kepada Engkau pulalah kembalinya keselamatan itu. Dari itu hidupkanlah kami, wahai Tuhan, dalam keadaan selamat sejahtera. Masukkanlah kami ke dalam syurga tempat aman sentosa. Maha Besar Engkau, wahai Tuhan, Maha Tinggi Engkau.”
3. Kemudian diikuti bacaan ini sebanyak 3 atau 10 kali.
Maksudnya:
“Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dialah yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu.”
Disunatkan membacanya sebanyak 10 kali sesudah solat maghrib dah subuh sebelum beralih kedudukan (dari posisi tahiyat akhir) atau bercakap perkara lain (hal dunia atau bersembang).
4. Kemudian berzikir
a) Subhanallah (33 kali)
ِسُبْحَانَ الله
“Maha Suci Allah“
b) Alhamdulillah (33 kali)
ِالْحَمْدُ لِلَّه
“Segala puji bagi Allah“
c) Allahuakhbar (33 kali)
ُاللهُ أَكْبَر
“Allah Maha Besar“
d) Seterusnya ditutup dengan bacaan berikut.
Maksudnya:
“Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada bersekutu denganNya sesuatu. Baginya kerajaan, baginya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”
5. Kemudian, ditutupi dengan doa selepas solat.
*Nota: Ini adalah susunan zikir yang paling ringkas yang boleh diamalkan sebagai wirid selepas solat terutamanya bagi mereka yang terlalu sibuk. Terdapat banyak lagi susunan wirid yang boleh diamalkan selain daripada ini.
ٍWirid selepas solat adalah himpunan zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w mengiringi solat.
Wirid itu sendiri secara umumnya membawa erti zikir yang diamalkan secara berulang-ulang sehingga menjadi satu kebiasaan (tabiat).
Susunan zikir ini disusun oleh para alim ulama untuk memudahkan orang awam untuk mengamalkannya.
Membaca wirid juga adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan kepada Allah, meneguhkan perasaan kasih dan cinta kepada Allah serta melahirkan kesyukuran kepada-Nya.
Adab-adab Berdoa
Ketika berdoa, kita juga disarankan agar menjaga adab-adab berdoa. Antaranya ialah:
- Berdoa dalam keadaan bersih termasuklah daripada hadas kecil dan besar.
- Suci pakaian dan tempat berdoa.
- Mengadap kiblat dan berdoa dengan khusyuk, tawaduk dan rendah diri.
- Memulakan dengan ucapan: َبِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن dan diikuti selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.
- Sebelum disudahi dengan lafaz “Amin”, tutuplah doa tersebut dengan sekali lagi selawat ke atas Rasulullah s.a.w dan puji-pujian kepada Allah s.w.t.




Catat Ulasan