Kenapa Memotong Bawang Menyebabkan Kita Menangis?

Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa mata kita berair atau seperti menangis ketika menghiris bawang? Adakah kerana terkena percikan air bawang? Adakah kerana menghiris bawang ini menyedihkan?




Fenomena ini dirungkai oleh para saintis. Mata berair ketika menghiris bawang adalah disebabkan bahan kimia yang dirembeskan oleh bawang yang dikenali sebagai syn-propanethial-S-oxide. Syn-propanethial-S-oxide merupakan mekanisme perlindungan bagi bawang daripada serangan pemangsa.


Bau yang kuat dan berempah yang dikeluarkan semasa menghiris bawang itu bukanlah penyebab mata kita berair. Bau ini adalah hasil bahan kimia syn-propanethial-S-oxide yang tersejat dan membentuk bahan kimia yang berbau iaitu "thiosulfanates". Syn-propanethial-S-oxide ini ialah sebatian sulfida yang tidak stabil dan senang tersebar dalam udara kita.


Saraf pada kornea mata kita akan mengesan kehadiran syn-propanethial-S-oxide ini dan menghantar isyarat kepada sistem saraf utama dan kemudiannya merangsang saraf pada pundi lachrymal untuk menghasilkan air mata. Ia turut dikenali sebagai  lachrymator yang dapat didefinisikan sebagai "iritasi yang menyebabkan mata diisi oleh air mata tanpa merosakkannya".


Jadi, terjawab sudah persoalan kenapa mata kita berair ketika menghiris bawang.


Post a Comment

Terbaru Lebih lama